“Banyak-banyak lorong, lorong ni juga yang dia suka masuk” kata adik aku tak puas hati dengan kerenah pelik abang dia ni sorang, yang sedang memasuki lorong yang sempit dan berbatu dengan kereta. “Abang kan suka jalan yang berliku” balas aku senyum. “kerana hanya kesusahan/masalah yang mampu menjadi guru yang terbaik bagi kesenangan” sambung aku lagi. “Ye la, tapi jangan cari penyakit (masalah), ada la kesusahan lain yang bakal menantinya di sana nanti” bidas adik aku. “tapi kalau kita tak paksa dia tak akan belajar erti susah, tengok macam mana pelajar-pelajar di sekolah yang Kak Jah mengajar” simpul aku. “iye juga kan” balas adik aku tanda faham situasi.
Sejak kakak aku (Kak Jah) menjadi guru KAFA gantian bagi seorang guru yang bersalin, banyak cerita-cerita dapat aku dengar darinya tentang generasi adik-adik. Pernah ada sekali ditegur ustazah supaya duduk diam dan jangan bercakap, “what ever!” balas murid darjah 4. Aku terkejut mendengar jawapan yang agak biadap bagi aku dari seorang pelajar kepada seorang guru. Pernah juga terjadi satu kes, bila ditegur melakukan kesalahan “gaji cikgu tu kami yang bayar!” balas murid tu dengan angkuh. Bila ditanya murid lain berapa sehari bawa wang ke sekolah “RM 15” jawap murid tersebut, fuh! Berpuluh-puluh kali ganda dengan zaman kita suatu masa dahulu.
Susah sekali untuk mendengar kata. Bila ditegur dibalas dengan sindiran, bila dilarang diherdik dengan ejekan, bila dirotan diadu kepada mak bapak, mak bapak pula buat police report. Sekolah-sekolah tersebut bukannya sekolah pendalaman atau perkampungan orang-orang asli, ia sekolah budak-budak ELIT, sekolah untuk orang-orang hebat. Aku tidak tahu mana hilangnya adab sopan melayu yang diagungkan orang-orang bukan melayu sebelum ini.
Aku masih ingat masa abah dengan ma buat haji tahun 2008, ramai orang-orang arab memuji bangsa melayu dek kerana kelembutan sahsiahnya. Terasa agak malu bila dipuji dengan sedikit kelebihan dalam banyaknya tesembunyi kekurangan kita. Apa yang membentuk perangai adik-adik atau anak-anak kita sehingga menjadi sebegitu rupa, mesti ada something yang tak kena dengan suasana yang sedang mereka lalui. KESENANGAN/KEMEWAHAN, yup! Itulah hakikatnya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Demi Allah! Aku tidak bimbang kefakiran yang menimpa kamu tetapi apa yang aku bimbang ialah apabila dibentangkan kemewahan dunia sebagaimana yang telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu lalu mereka merebut kemewahan dunia itu maka kamu juga akan berebut sebagaimana mereka maka kamu akan dibinasakan sebagaimana binasanya umat sebelum kamu”
Apa yang dibimbangkan Nabi benar-benar berlakukan? Itulah hakikat kemewahan mahupun kesenangan, jika kita tidak mengawalnya dia akan mengawal kita. Bukan salah kemewahan tersebut tapi salah bila kita tidak meletakkan ia kepada saluran yang sepatutnya. Jika kita berdendam dengan kesusahan masa silam kita sekalipun, jangan sampai kita menghukup anak kita dengan kemewahan yang melampau. Racun itu bisa menyerang hingga ke dalam hati manusia, sekiranya tidak dirawat dari awal fungsi pembersih darah (hati) itu, ia akan terus menyerang hingga kepada tabiat atau tingkah laku mereka.
Bayangkan apabila seorang kanak-kanak dibesarkan dengan serba ada, perfect, dan boleh dikatakan segala apa yang dia nak dia akan dapat, apa yang menghalang dia untuk tidak mendengar atau tidak memahami hal lain yang menghalang kemahuan dia. Ianya lebih teruk bila sikap itu dibawa hingga usia remaja kerana di usia tersebut mereka ingin mencuba segala yang baru, ingin belajar sendiri meneroka kehidupan dengan lebih agrasif.
Bimbingan dari pihak keluarga untuk kenal siapa adik/anak kita, siapa kawan-kawan mereka, bagaimana suasana yang mereka depani, sangat-sangat penting, dan jika ada dari ketiga-tiga itu cuba untuk mengotori fitrah mereka do something now! Jangan biarkan ia hanyut dibawa arus dunia yang semakin hari semakin kurang kejujurannya. Semoga Allah merahmati dan memberi bimbingan kepada kita dalam mendidik diri sendiri dan mereka yang kita sayangi, inshaAllah.