Friday, June 26, 2015

Sedikit Yang Cukup

Selama 3 tempat yang pernah aku bekerja, satu pesanan dari kawan-kawan di tempat kerja yang merupakan pesanan yang sama. Iaitu "apabila dapat gaji bagilah juga bahagian kepada mak". Ya, pesanan ini jugalah yang ingin aku berikan kepada kawan-kawan yang baru dapat kerja atau yang sudahpun bekerja.

Biar pun gaji kita sedikit berilah seadanya. Mungkin pada zahirnya jumlah kita berkurang, namun apa yang kita inginkan adalah keberkatan dari rezeki yang kita dapat. Apabila rezeki yang kita dapat itu berkat, sedikit pun cukup untuk kita berbelanja sehari-harian, sedikit pun cukup untuk kita membuat amal sedekah, sedikit pun cukup untuk kita membantu mereka yang memerlukan.

Cukup bukan dalam erti kata hidup mewah, tetapi kita gembira dengan rezeki yang kita perolehi. Ada orang, duit banyak, hidup mewah, tapi sering gundah gulana. Tidak kira lah kita mempunyai rezeki yang banyak atau rezeki yang seadanya, namun biarlah rezeki itu membahagiakan kita, bukan sering mendesak kita untuk menjadi manusia yang lalai serta jauh dari rahmat Allah.

Semoga kita semua memperolehi kebaikan dari apa yang telah kita usahakan, inshaAllah.

Kreadit Photo By: lopeleonieunique

Friday, June 19, 2015

Bersediakah Kita?

Aku termenung seketika memikirkan apa yang sedang berlaku pada kita hari ini. Hakikatnya kita masih belum bersedia untuk menang.. Bila memikirkan mengenai perjuangan, fikiran deras melangkau kisah Pembukaan Constantinople oleh Muhammad Al-Fateh yang kira-kira 800 tahun lebih jaraknya dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Ianya bukan sesuatu kisah yang mudah untuk sampai pada tahap yang sedemikian, tapisan demi tapisan, pengorbanan demi pengorbanan, usaha demi usaha yang berterusan, beratus-ratus tahun perjuangan yang dilakukan oleh para pejuang sehinggalah kepada Muhammad Al-Fateh yang Allah redha dan izinkan untuk membuka Constantinople tersebut.


Mengenangkan pula pada kisah perjuangan Salahuddin Al-Ayubbi. Aku teringat akan suatu kejadian yang berlaku pada zamannya yang diceritakan oleh seorang ustaz. Kisah tersebut adalah ketika berlakunya peperangan di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayubbi. Serangan demi serangan yang dibuat ketika itu namun umat Islam masih tidak memperoleh kemenangan.

Salahuddin Al-Ayubbi menjadi hairan kenapa tidak menang, kerana dengan strategi yang sebegitu sepatutnya ia memperoleh kemenangan. Namun dengan rendah diri, pada malam harinya dia berdoa kepada Allah SWT agar memberi petunjuk, apa yang menyebabkan kekalahan tersebut.

Selesai berdoa dia melakukan rondaan terhadap tentera-tenteranya sebagaimana biasa. Apabila dia memeriksa khemah pertama, alhamdulillah dia mendapati lampu menyala, semua tentera dalam khemah tersebut solat tahajjud, begitu juga dengan khemah yang kedua. Namun, apabila dia pergi ke khemah yang ke 3, dia melihat lampu tidak menyala, dan tentera di dalam khemah tersebut masih tido, serta tidak solat tahajjud.

Pada keesokan harinya sebelum pergi ke medan perang Salahuddin Al-Ayubbi memanggil semua tenteranya dan dia mengecualikan tentera yang berada di khemah no 3 untuk berperang bersama. Mereka menjadi hairan dan tertanya-tanya. Salahuddin Al-Ayubbi menceritakan perihal rondaannya semalam, dan dia memberitahu, dia bimbang kalau-kalau disebabkan itu Allah menangguhkan kemenangan tersebut. Setelah pergi berperang, menyaksikan tentera Islam memperoleh kemenangan.

Ya, bukan sesuatu yang mudah untuk mencapai sesuatu kemenangan. Terlalu banyak aspek yang perlu kita jaga. Salah satu aspek utama adalah hati. Dalam memperjuangkan sesuatu yang adil, bersih, cantik, damai, harmoni sebagaimana Islam, kita terlebih dahulu perlu menanam benih-benih suci dalam diri, agar pohon yang akan tumbuh itu adalah pohon yang terbentuk dengan baik seiring dengan keindahan Islam yang kita dibawa. Hindarkan sikap riak, takabbur, kianat dan juga dengki yang sentiasa membisik-bisik ke dalam hati kita supaya berpecah belah, bermusuh-musuhan dan jauh dari rahmat Allah SWT.

Bagaimana kita ingin memperoleh kemenangan tanpa kita bersatu. Bagaimana kita ingin bersatu sekiranya kita sering bersikap riak, takabbur, kianat dan juga dengki sesama kita. Aku teringat akan satu skrip yang ditulis oleh Aziz M. Osman di dalam filem Leftanan Adnan; “Saya tahu antara kamu ada yang tidak serasi, tapi ingat tujuan kamu masuk askar bukan untuk kepentingan diri, kalau kamu tak boleh korbankan kepentingan kamu, kamu tidak akan dapat bekorban untuk negara.”

Begitulah kita dalam memperjuangkan Islam, untuk melihat Islam naik dengan gahnya, untuk melihat kemengangan Islam, kita perlu menundukkan hati-hati kita hanya kepada Allah SWT. Sekiranya terdetik dalam hati kita sesuatu keputusan yang kita buat itu lebih kepada kepentingan diri, parti, organisasi, atau seumpamanya kenangkan kembali apa yang kita perjuangkan selama ini. Apakah kita ingin kuburkan kesucian perjuangan yang dibawa beratus-ratus tahun itu hanya dengan keegooan kita. Aku rasa kita sudah begitu matang untuk menilai dan membuat keputusan.

Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, sama-samalah kita cuba memperbaiki amalan kita; hubungan kita dengan Allah, hubungan kita dengan manusia, agar kita mampu kembali bersatu dalam mencapai kemenangan yang hakiki, yang Allah redha dan izinkan ianya berlaku, inshaAllah.

Bina jambatan menuju ke seberang 
Melangkah jurang lebar dan dalam 
Dengan darah dan keringat 
Dengan airmata berpegang pada taliNya

Rapatkan saf semangatmu jangan goyah 
Kota yang telah roboh harus dibina semula 
Atas dasar kebenaran demi kita demi waris 
Semua serangan yang datang kita tangkis

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri 
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti 
Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu 
Bangkit membina satu keindahan baru

Phoenix bangkit 
Bina jambatan menuju ke seberang 
Dengan darah keringat dan airmata 
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan, dirindukan, 
Demi cinta tiada lain.. Demi cinta..