Sunday, April 29, 2012

Aku Manusia Biasa


Aku manusia biasa, pernah kecewa, pernah putus asa. Tak mampu untuk aku menjadi manusia yang statik emosionalnya. Kalanya kekecewaan itu memaksa aku berada di dalam sebuah gua untuk aku menormalkan kembali perasaan itu. Memang benar aku seorang yang sensitif, memang betul aku seorang yang sukar untuk difahami, kerana itu sifat aku. Aku cuba menjadi manusia yang kurang sensitif, menelan kata-kata yang merobek hati, mengunyah dengan perlahan-lahan perbuatan yang tidak disukai. Mungkin semalam dan hari ini aku mampu, tapi esok lusa belum tentu. Kerana sakit dan letih hati ini untuk selalu menampal darahan jiwa. Namun aku akan terus cuba, cuba dan mencuba untuk sentiasa menjadi yang lebih baik.
Wahai semua yang aku kenali, aku tidak mampu menjanjikan kemewahan setiap kali kamu bersama aku. Aku tidak mampu menjanjikan kamu sentiasa ketawa saat kita berbicara. Aku tidak menjanjikan masa yang panjang apabila kita bersua.. Cuma, aku akan cuba sedaya termampu menyempurnakan keperluan & kehendak kita sebagai seorang manusia, cuba membuat kamu tersenyum setiap kali kita bersua, cuba memikirkan bagaimana untuk menjadikan masa yang singkat itu sebagai sesuatu yang bermakna buat kita semua.
Maafkan aku jika aku tidak mampu menjadi yang terbaik untuk kalian, maafkan aku jika perbuatanku sering mengguris hati. Namun ketahuilah bukan itu niat aku dan bukan itu yang aku mahukan. Mungkin character kita berbeza, namun aku yakin matlamat kita sama, ingin memberikan yang terbaik buat semua yang kita sayang. Semoga Allah menyatukan hati-hati kita untuk sentiasa saling faham memahami dalam mencari jalan penyelesaian di setiap permasalahan yang timbul, inshaAllah.

Sunday, April 22, 2012

Keluarga Kita, Diri Kita

Membesarkan anak-anak di zaman yang mencabar ini bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan lagi bila suami & isteri sama-sama bekerja. Untuk memfokuskan kesemua nafkah fizikal, intelektual, emosional & spiritual untuk anak-anak merupakan sesuatu yang besar/berat. Ibu bapa yang semakin dihimpit dengan kesempitan masa mahupun wang, menyebabkan ketergangguan emosinal yang serius. Tanpa kesenian dalam pengurusan rumah tangga ianya mampu mengheret keluarga tersebut ke lembah yang membimbangkan. Kita tidak mampu mengelak daripada masalah-masalah tersebut, hatta seorang yang kaya sekalipun, atau mereka yang mempunyai lebihan masa, semua kita diuji dengan satu masalah yang sama, iaitu membesarkan anak-anak. Tanggungjawab dalam mendidik anak-anak tidak pernah berubah dari ibu bapa kepada bibik, tadika, sekolah mahupun universiti. Bila tiba masanya, kita (ibu bapa) akan dipersoalkan bukan mereka.

                Aku banyak didedahkan dengan masalah-masalah rumah tangga, walaupun aku sendiri belum berumah tangga, tapi aku suka melihat gelagat suami isteri dalam menyelesaikan masalah yang timbul, sama ada dalam perhubungan suami isteri ataupun dalam membesarkan anak-anak. Semua itu memerlukan kesenian, keterperincian. Aku pernah mendengar satu kisah seorang suami menceraikan isterinya hanya disebabkan oleh ubat gigi. Aku tidak pasti bagaimana tahap emosional suami tersebut ketika itu, aku tidak tahu apa yang bermain difikirannya disaat itu. Namun aku yakin kita semua tidak gemar dengan cerita sebegini. Dalam menyelesaikan masalah untuk membesarkan anak-anak kita terpaksa menanam benih yang kuat dalam perhubungan suami dan isteri agar pohon yang tumbuh, walau setinggi mana sekalipun, mampu ditampung oleh akar yang kuat mencengkam tanah.

                Bulan lalu aku membeli buku ‘Men Are from Mars, Women Are from Venus’ yang disarankan oleh Ustaz Hasrizal, bagi seseorang yang bakal membina keluarga mereka. Ianya banyak menyentuh mengenai penjelasan sifat seorang lelaki & perempuan yang sebenar, yang mungkin kita terlepas pandang, dan akhirnya kita tidak appreciate fitrah mereka sebagai seorang perempuan dan juga lelaki. Banyak masalah-masalah yang biasa kita dengar di sekeliling kita, dan ia menterjemahkan kembali kebahasa buku. Aku yakin berat tanggungjawab dalam membesarkan anak-anak akan menjadi ringan apabila suami isteri mempu bekerja sama, faham antara satu sama lain, tahu tugas/kedudukan mereka dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.

                Mohonlah petunjuk dari Allah untuk kita sentiasa mampu keluar dari setiap masalah yang timbul dengan penuh cinta, sabar & ikhlas. Setiap keluarga ada masalah mereka masing-masing. Bohonglah kalau mereka kata, rumah tangga mereka tidak pernah ditimpa masalah. Kerana kita kena yakin ‘masalah’ itu bukan untuk dilari, tapi untuk diterokai dan diselesaikan. Masalah itu bukan suatu bala, tapi peluang untuk kita sentiasa memperbaiki kekurangan yang ada dalam diri. Aku bersyukur dan sangat berterima kasih kepada Tuhan kerana memperkenalkan kepada aku lebih awal akan alam ini. Aku harap aku mampu bersabar bila ianya datang pada aku, kerana aku tahu, bijak teori belum tentu mahir praktikal. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan sabar dan jalan penyelesaian dalam setiap masalah yang datang, inshaAllah.


Sedihku sakitku ku terima,
Ku rela ku pasrah jalanku,
Ini suratan aku dicuba,
Demi rahmatMu ku memohon.

Yaa Allah redhai ketulusan hati,
Yaa Allah beri aku ketabahan,
Yaa Allah aku sanggup berkorban,
Demi rahmatMu Yaa Allah.

Yaa Allah redhai ketulusan hati,
Yaa Allah beri aku ketabahan,
Yaa Allah aku sanggup berkorban,
Demi rahmatMu Yaa Allah.