Wednesday, July 28, 2010

20(29/7/1990) : Dugaan Memilih Iman

Kata M. Nasir "Riwayat bermula dari dahulu, pandang belakang tersangatlah jauh, ..". Terlalu jauh usia yang telah aku tinggalkan di belakang sehingga tidak mampu untuk berpatah balik. Hargailah setiap masa yang berlalu "sesaat berangan terlepaslah habuan, ikan tak dapat umpan pula hilang". Masa yang dibiarkan kosong sudah berlalu, masa yang berkecamuk dengan tugas juga turut berlalu. Pahit, manis, masam, masin, pedas, kelat semua digaul bersama ke dalam sebuah kuali kehidupan. Pelikkan jika pedas tiada dalam sambal. Janggal bila ikan kering hilang masinnya. Tawar bila sira labu tiada manis. Seorang Chef, dia tahu di mana harus diletak pedasnya, ke mana harus di taruk masamnya dan siapa yang harus merasainya. Sebagai seorang manusia kita tidak dapat lari dari mengecap rasa sedih, gembira, resah, berdebar, penat atau amarah. Itu sudah menjadi sifir bagi seorang makhluk yang bergelar insan. Apa yang penting kita belajar bagaimana untuk menghandle diri kita ketika berhadapan dengan semua situasi tersebut. Itulah bergunanya setiap pengalaman yang kita kutip, bak kata Malique "Yo! ijazah terbaik datangnya dari jalanan, dari pengalaman bercakap dan bersalaman, konflik motivasi, cuba medatasi, positif dan benci jadi inspirasi pagi"

Baru-baru ini aku belajar bagaimana untuk menjadi persis sebuah komputer. Yang mana hidup bukan untuk sendirian. Ia memerlukan satu hubungan yang lengkap, sebagaimana sabda nabi Muhammad SAW "Mukmin terhadap mukmin yang lain ibarat batu-bata binaan yang saling memperkukuh satu sama lain..". Di dalam sebuah komputer kita sering menganggap Prosesor adalah suatu hardware yang amat penting kerana tanpa Prosesor semua aktiviti yang terdapat dalam komputer tidak dapat digerakkan. Tapi pernahkah kita terfikir walau sehebat manapun prosesor ia masih memerlukan Motherboard, Ram, Cmos, Power Supply untuk untuk menjalankan tugas-tugasnya. Ini bermakna kita tidak boleh rasa hebat sendiri, merasakan kita tidak memerlukan sesiapa dalam hidup (teringat akan kisah 'Buli Balik'). Sedarlah perasaan itu bisa membinasakan kita dalam diam.

Selama 20 tahun ni terlalu banyak coretan, lakaran juga tone dalam menampakkan lukisan perjalanan hidup aku. Detik demi detik masa berlalu, helai demi helai lakaran hidup dilukis. Ada yang berbentuk abstrak ada juga yang berbentuk corak. Yang pasti ia memerlukan terlalu banyak warna. Aku berterima kasih kepada adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan yang sudi menjadi sebahagian daripada warna-warna kehidupan aku. Walau ada kalanya aku kurang menghargai warna tersebut tapi ketahuilah yang ia pelengkap kepada sebuah lukisan yang sempurna. Meskipun ia cuma setitik cat.. Semoga Allah membalas segala kasih sayang yang dicurahkan, dan usaha yang dipertaruhkan untuk aku. Mubarak, May Allah Bless You, Semoga Allah merahmati kalian.

"Ya Allah, Kau peliharalah mereka yang amat kusayangi dalam hidup ini ketika ku tidak dapat bersama mereka di sisi, tika dia jaga, tika dia tidur, tika dia gembira, tika dia duka, tika lara dan gundah, tika senang, tika sakit, ku memohon dengan rahmatMu ya Allah, letakkan mereka dalam sebaik-baik perlindunganMu, pandanglah dengan kasih sayangMu sentiasa peliharalah mereka dalam sebaik-baik peliharaanMu.."

Kesenangan yang datang
Tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan!!!
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali...


Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan

By: Mcfly@2010

Song Kehidupan : Inteam feat Nazrie (Raihan)

Saturday, July 24, 2010

Don't judge a thing until you know what's inside it

Terlalu banyak pengalaman yang aku ingin kongsikan, bila mana aku membuat keputusan untuk berpijak ke alam pekerjaan iaitu sebagai seorang pembanci. Jika dulu aku seorang sangat pendiam, tidak pandai berkawan dan tidak ingin mengambil tahu tentang orang lain. Kini aku terpaksa berdepan dengan satu kelemahan yang sangat aku gerun, iaitu berinteraksi dengan orang yang aku tidak kenal latar belakang, perangai, kerenah serta tabiat. Ia seolah-olah suatu kursus untuk mengikis kelemahan aku.

Memang susah! susah!! dan amat susah!! pada mulanya. Amat terseksa. Sehinggalah aku berfikir positif “Maybe ini adalah peluang yang Allah berikan kepada aku untuk aku melihat dunia yang sememangnya aku perlu tahu dan kenal”. Dengan celupan itulah aku belajar mengenal manusia. Ada orang bertamadun dan ada yang tidak bertamadun. Tolak ke tepi mewah atau daif kerana apa yang aku temui adalah sama. Ada orang kaya baik, orang miskin sombong dan ada juga orang miskin baik dan orang kaya ego.

Melihat gahnya rumah yang bercat putih, berdua tingkat, berlamankan rumput kapet dan berkereta Mercedes. Banglonya yang berada di atas tanah yang lebih tinggi dari teres di hadapannya membuatkan aku teragak-agak untuk masuk. Mungkin disebabkan perspeksi aku terhadap orang kaya menyebabkan aku pejam mata untuk membanci di rumah tu. Aku yang bertemankan seorang kawan cuba memberanikan diri untuk memasuki pagarnya yang tinggi menggalah. “ni kena buat e-CENSUS ni” gurau kawan aku. E-CENSUS adalah cara memasukkan maklumat melalui komputer tanpa menggunakan borang. Aku tergelak kerana memamahi maksud yang cuba disampaikan. Tiga hari lepas kawan aku pergi rumah orang kaya dan orang tu ingin membuat e-CENSUS.

Aku menekan loceng yang terpaku di dinding. Berkali-kali aku tekan loceng sambil memberi salam tapi tiada respon. Tiba-tiba pembantu rumah (bibik) keluar, lalu aku memperkenalkan diri. Tidak lama dari itu keluar tuan rumah berjubah arab dan mempelawa kami masuk. Dalam perjalanan ke tempat duduk beralun lagu ‘Barakallah - Maher Zain’ memecah suasan sepi ketika itu. Selesai menanyakan soalan bibik menghidangkan air sarsi. “Kamu masih belajar?” tuan rumah memulakan perbualan. “Ha’a masih belajar di Open Universiti Malaysia dekat Lundang, ambil Diploma IT”. “Ooo.. bagus la, selagi ada masa ni belajarlah. Sekarang ni orang-orang melayu kita susah, hendak mudah semuanya, nak kerja yang senang-senang, nak hidup mudah tapi usaha tidak ada. Nabi dulu hidup susah dari kita, tu pun untuk memperjuangkan islam bukan untuk kepentingan diri. Dah tu takkan kita nak lebih dari nabi”.

Aku mengiakan fakta tu kerana apa yang dia cakap dan apa yang aku lihat kini, itulah hakikatnya. Tuan rumah tersebut menceritakkan kisah bagaimana dia dulu naik dari bawah. Dan apa yang aku tertarik adalah apabila dia mengkritik perangai orang yang kononnya mengaku muslim tapi perangai buruk. Sekali gus mencemarkan image islam itu sendiri. Aku teringat akan kata-kata Tuan Ibrahim Tuan Man “Cubo kito gi ke negara barat, jujur, bersih duk dio, cuma takdok iman, gak apa payoh sangat, Allah ambik iman bubuh dio, come selalu. Kito ore melayu ni doh la rupo huduh pahtu tokse islam pulok takdok gapo”. Kata-kata tu cukup menyedarkan aku bahawa tanpa islam kita bagaikan daun kering dijalanan. Betullah kata Umar Al-Khattab “Aku hanya seorang Umar, kemualiaan aku kerna islam”. Dan mengenai orang kaya tersebut, itulah juga hakikat sebuah kehidupan, kini aku belajar bahawa ‘jangan menilai sesuatu tanpa kamu mengetahui tetangnya’. Minggu lepas aku bertemu tuan rumah tersebut di Masjid Lundang. Sejuk hati aku melihat orang kaya yang tidak lupakan Allah. Semoga Allah sentiasa merimbunkan hidayahnya kepada penduduk rumah tersebut.