Agak keras bunyi tajuk yang dipilih kali ni, mungkin ada yang tidak suka, namun itulah hakikat kritik, tiada siapa yang mudah untuk menerima, kerana kita lebih suka memberi kritikan.. ‘Mazhab Melayu’, adat dan kepercayaan yang terlalu berlebihan menyebabkan ianya dilihat seolah-olah sebuah mazhab. ‘Mengumpat’, ialah sesuatu perbuatan yang buruk pada pandangan islam, sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran
"..dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." - Al Hujurat 49:12.
Dalam bahasa yang mudah difahami pada tajuk yang diberi ialah ‘Adat Melayu Apabila Dikotorkan’.. Sebulan dua ini aku sering mendengar pengaduan dari kawan-kawan mengenai sukarnya mereka dalam membina rumah tangga. Dengan bermacam-macam cabaran yang dihadapi menyebabkan aku turut simpati terhadap permasalahan tersebut. Apa yang menjadi sukarnya kawin pada zaman sekarang? Kawin kena sama darjat, perbezaan umur sukar diterima, warna kulit diambil kira, nanti orang mengata, kawin kena hantaran & kenduri yang mahal-mahal sebab nanti diumpat dicela, berhutang lain cerita, kawin awal dikatanya gatal, kawin lewat digosipnya tak laku, kawin dengan saudara tak boleh, kalau yang jenis bawa laki masuk ke rumah takpe.
Hakikatnya orang Melayu lebih mengambil kira kata orang dari panduan Al-Quran. Adat yang sepatutnya merupakan sesuatu yang baik pada awalnya menjadi buruk apabila diconteng oleh lapisan-lapisan baru, dan yang menjadi mangsa eksperimennya pemuda-pemudi kini. Adat yang direka berdasarkan nafsu & keegoaan diri tidak membawa generasi ke mana-mana selain timbulnya satu persatu masalah baru. Orang dulu pantang larang kurang, tapi jumlah penceraian tak banyak, zaman sekarang pantang larang banyak, namun kes penceraian juga berlambak-lambak. Tak salah pantang larang tu, namun biarlah yang betul sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. MAKA HENDAKLAH KAMU MENGUTAMAKAN YANG BERAGAMA.” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Sama-samalah kita pandang dengan pandangan hati bukan dengan pandangan nafsu juga keegoan yang akan merosakkan dari sebuah ke sebuah generasi yang lain.. Izinkan anak-anakmu memikirkan masalah umat lebih dari masalah ini. Terlalu banyak masalah dunia kini, harap ibu bapa dapat meringankan dengan benda yang tidak seberapa ni. Kami hanya mahu restu kalian (ibu bapa) dan bukannya mereka.