Sunday, July 29, 2012

Double Twin


Semakin hari semakin bertambah usia kita walaupun ianya bukan setahun, namun selagi jam berdetik, selagi kalendar bernombor, selagi bulan, bumi dan matahari berputar selagi itu kita akan terus dimamah usia. Hari ini genap usia aku 22 tahun. Betul kata Dr Muhaya usia itu hanya sekadar angka. Selagi kita tidak bertindak untuk melakukan sesuatu terhadap diri kita, ianya akan terus begitu. Selagi kita tidak mahu makan kita akan terus lapar. Selagi kita takut untuk silap, dicemuh, dicaci, selagi itu kita akan terus menjadi seorang yang tidak yakin pada diri.
                Kadang-kadang kita pelik bila melihat seorang kanak-kanak yang bermain bersama kawan-kawan mereka tidak lari melihat Umar Al-Khattab yang menuju ke arahnya, sedangkan kawan-kawannya yang lain berlari meninggalkan tempat tersebut. Bila Umar bertanya, kenapa tidak lari sebagaimana kawan-kawannya yang lain, dia menjawap, dia hanya takut kepada Allah SWT. Begitu hebat kepercayaan kanak-kanak tersebut terhadap Tuhan yang disembah. Ada yang berumur pula kalanya berperangai seperti budak-budak.
                Hakikatnya usia itu tidak memberi tiket kepada kita untuk matang. Seusia double twin sebegini aku seharusnya sudah faham akan tujuan hidup, sudah nampak dengan jelas apa yang hendak aku capai. Namun, tanpa keberanian mimpi tidak bermakna. Semua itu harus berjalan seiring. Fakta dan praktikal dua benda yang sangat berbeza, seumpama membaca resepi dan memasak. Kita faham akan resepi tersebut, tapi kita tidak mahir mengendalikan alatan dapur. Kalau tak terbakar dapur pun, menu yang putih menjadi hitam.
                Itu hakikat ilmu, kita perlu faham fakta, kita juga perlu praktikkan apa yang kita faham. Satu hari Umar bertanya kepada Nabi Muhammad, adakah dirinya sudah seperti surah Al-Baqarah, sekiranya dia masih tidak mampu menjadi sebagaimana surah Al-Baqarah dia tidak akan meneruskan bacaannya untuk surah-surah yang lain. Nabi menjawab, sudah.
Zaman sekarang tidak sukar untuk mencari ilmu, semuanya atas kehendak kita sendiri. Namun apa yang perlu kita risaukan adakah ilmu itu dipraktikalkan. Tidak guna kita mampu belajar ilmu orang pHD, tetapi kita tidak mampu melaksanakan tujuan hidup kita yang sebenar. Sama-samalah kita melaksanakan apa yang kita pelajari agar pohon yang rendang itu bukan hanya meredupkan peneduh, tapi juga mampu menghilang lapar si pemilik, inshaAllah.
Aku masih dalam proses memperbaiki diri. Kepada sesiapa yang mengenali diri ini, mohon maaf di setiap silap dan salah aku selama 22 tahun ini. Mohon kesabaran dan bimbingan dari kalian untuk aku meneruskan langkah. Terima kasih untuk mereka yang wish my birthday dan mendoakan yang terbaik untuk diri ini, terima kasih banyak-banyak.

Monday, July 16, 2012

Get Ready to Enter The Class


Minggu lepas aku dengar kuliah Ustaz Hasrizal (Saiful Islam) mengenai cara melakukan sesuatu perubahan. Dia memperkenalkan faktor-faktor yang selalunya mengganggu seseorang itu dalam membuat sesuatu perubahan, iaitu Pengalaman, Persekitaran, Perspeksi (Pandangan Orang), Ilmu Pengetahuan. Semua benda-benda ini akan sentiasa mencipta alasan kepada kita bagi menyukarkan lagi untuk kita melakukan sesuatu perubahan.

[Kalau sekiranya kita menjadikan benda-benda yang bukan pilihan kita menjadi halangan untuk kita buat perubahan, inshaAllah, formula sangat berkesan untuk menjadi orang yang gagal dalam hidup. Iaitu mengikat diri pada factor-faktor yang kita tidak boleh kawal. “Saya tak boleh buat apa, kalau jalan jam-jam macam ni saya memang mencarut.” Oh, jalan jam mencarut, jalan lapang berzikir. Jadi, yang menentukan sama ada dia mencarut atau berzikir ialah trafik jam. Sesuatu yang dia tak boleh kawal. Orang macam ni duduklah di Berek Raja, jangan datang Kuala Lumpur, hari-hari mencarut.

“Saya tak boleh buat apa, saya kalau hujan-hujan macam ni saya bad mood.” Susah la macam tu, hujan bad mood, cerah ceria. Jadi, yang menentukan kita happy ialah keadaan cuaca. Susah hidup macam tu. “Saya tak boleh buat apa, dah semua orang merokok saya terpaksa merokok.” Bukan nak sangat merokok tapi semua orang merokok terpaksa merokok.] Antara petikkan yang disampaikan Ustaz Hasrizal dalam kuliah tersebut.

So, untuk memulakan sesuatu perubahan kita kena pastikan diri kita bebas dari semua benda-benda yang mengikat kita untuk melakukan perubahan. Semoga kelas Ramadhan yang bakal kita masuki nanti menjadikan suatu peluang untuk kita mentransfomasikan diri kita kearah yang diredaiNya, inshaAllah.