Sunday, July 29, 2012

Double Twin


Semakin hari semakin bertambah usia kita walaupun ianya bukan setahun, namun selagi jam berdetik, selagi kalendar bernombor, selagi bulan, bumi dan matahari berputar selagi itu kita akan terus dimamah usia. Hari ini genap usia aku 22 tahun. Betul kata Dr Muhaya usia itu hanya sekadar angka. Selagi kita tidak bertindak untuk melakukan sesuatu terhadap diri kita, ianya akan terus begitu. Selagi kita tidak mahu makan kita akan terus lapar. Selagi kita takut untuk silap, dicemuh, dicaci, selagi itu kita akan terus menjadi seorang yang tidak yakin pada diri.
                Kadang-kadang kita pelik bila melihat seorang kanak-kanak yang bermain bersama kawan-kawan mereka tidak lari melihat Umar Al-Khattab yang menuju ke arahnya, sedangkan kawan-kawannya yang lain berlari meninggalkan tempat tersebut. Bila Umar bertanya, kenapa tidak lari sebagaimana kawan-kawannya yang lain, dia menjawap, dia hanya takut kepada Allah SWT. Begitu hebat kepercayaan kanak-kanak tersebut terhadap Tuhan yang disembah. Ada yang berumur pula kalanya berperangai seperti budak-budak.
                Hakikatnya usia itu tidak memberi tiket kepada kita untuk matang. Seusia double twin sebegini aku seharusnya sudah faham akan tujuan hidup, sudah nampak dengan jelas apa yang hendak aku capai. Namun, tanpa keberanian mimpi tidak bermakna. Semua itu harus berjalan seiring. Fakta dan praktikal dua benda yang sangat berbeza, seumpama membaca resepi dan memasak. Kita faham akan resepi tersebut, tapi kita tidak mahir mengendalikan alatan dapur. Kalau tak terbakar dapur pun, menu yang putih menjadi hitam.
                Itu hakikat ilmu, kita perlu faham fakta, kita juga perlu praktikkan apa yang kita faham. Satu hari Umar bertanya kepada Nabi Muhammad, adakah dirinya sudah seperti surah Al-Baqarah, sekiranya dia masih tidak mampu menjadi sebagaimana surah Al-Baqarah dia tidak akan meneruskan bacaannya untuk surah-surah yang lain. Nabi menjawab, sudah.
Zaman sekarang tidak sukar untuk mencari ilmu, semuanya atas kehendak kita sendiri. Namun apa yang perlu kita risaukan adakah ilmu itu dipraktikalkan. Tidak guna kita mampu belajar ilmu orang pHD, tetapi kita tidak mampu melaksanakan tujuan hidup kita yang sebenar. Sama-samalah kita melaksanakan apa yang kita pelajari agar pohon yang rendang itu bukan hanya meredupkan peneduh, tapi juga mampu menghilang lapar si pemilik, inshaAllah.
Aku masih dalam proses memperbaiki diri. Kepada sesiapa yang mengenali diri ini, mohon maaf di setiap silap dan salah aku selama 22 tahun ini. Mohon kesabaran dan bimbingan dari kalian untuk aku meneruskan langkah. Terima kasih untuk mereka yang wish my birthday dan mendoakan yang terbaik untuk diri ini, terima kasih banyak-banyak.

No comments: