Wednesday, August 24, 2011

Pulang ke Kampung Melatih Diri Menghampiri Takwa

"Abang raya tahun ni balik kampung saya la pula, kan tahun lepas dah balik kampung abang" cadang si isteri "Ala nanti raya ke 2 atau ke 3 kita balik la kampung aw, lagi pun tanggungjawab saya dengan mak lebih dari tanggungjawab aw dengan mak aw. Syurga seorang anak lelaki kan di bawah tapak kaki ibu" balas si suami. Si isteri hanya berdiam memendam rasa.

Itulah antara bikisan yang selalu terjadi bila ingin tibanya Syawal. Dalam membentuk sebuah rumah tangga atau organisasi yang hebat luar dan dalam, akarnya pada seorang ketua. Seorang ketua umpama seorang ibu terhadap anak-anaknya. Pengikut bawah akan turut apa sahaja yang diperintahkan oleh ketua sama ada dalam terpaksa atau suka rela. Tapi harus diingat pengikut itu juga manusia. Bila seorang ketua melakukan sesuatu dia akan menilai sama ada dengan hati atau pun akal.

Untuk membentuk keadilan dalam rumah tangga suami harus memainkan peranan penting. Sikapnya akan dinilai oleh si isteri dan anak-anak. Kalau tersilap langkah kesannya bukan hanya terhenti di situ, malah si anak yang akan membentuk rumah tangga sendiri suatu hari nanti yang akan mewarisi kesilapan kita berterusan dari generasi ke generasi. Sanggup ke kita melihat semua tu terjadi?

Berbalik kepada masalah pulang ke kampung untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Apa tujuan kita menyambut Syawal? Untuk meraikan kemenangan kita setelah sebulan diuji. Apakah kita menang kalau sekiranya kita keluar dari bulan Ramadhan tapi kita masih membiarkan keegoan yang mengawal diri kita? Apakah kita menang kalau sekiranya kita masih merelakan nafsu amarah membimbingan kita? Apa maknanya Syawal untuk kita?

Jadi sama-sama lah kita fahami dengan hati & akal bukannya dengan nafsu yang sering kali mengintai peluang untuk menghancur kebahagiaan kita. Memang betul syurga di bawah tapak kaki ibu, tapi Allah juga mengajar kita bersikap adil pada sesiapa pun, sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Maaidah (5:8) yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Lahirkanlah keluarga yang saling faham memahami, yang boleh dibawa berbincang serta saling menerima kebenaran, itu yang penting. Pulanglah di Aidilfitri dengan keredhaan Allah iaitu dengan memilih mendekati taqwa. InshaAllah, kebahagiaan milik mereka yang menghampiri diri kepadaNya. Salam Aidilfitri 1432!

No comments: